BOOKTOK: ILMU atau TREND?

BOOKTOK:ILMU atau TREND?

Ditulis oleh: Farysha

 

 

Dalam zaman sosial media yang semakin maju dan membangun, terutamanya dalam kalangan generasi muda seperti Gen Z atau Gen Alpha, tidak hairanlah jika lebih ramai pengguna media sosial lebih selesa membaca di atas talian. Baik e-book, artikel mahupun akhbar, semua maklumat kini boleh diakses dengan hanya beberapa klik di hujung jari. Disebabkan itu, pengeluaran buku fizikal semakin berkurangan dan tidak mustahil semua karya terbitan penulis baru akan berubah menjadi e-book yang menjadi hiburan kepada para pembaca.  

Kala e-book mula dikenali secara meluas, sebuah trend baharu mula membuah di aplikasi TikTok, dikenali sebagai BookTok. BookTok, yang mula menempah nama dalam kalangan pengguna TikTok pada tahun 2020 adalah sebuah subkomuniti popular di TikTok khusus untuk buku, sastera dan membaca. Di komuniti ini, pengguna boleh berkongsi pendapat, ulasan atau cadangan atas buku-buku yang telah dibaca. Selain itu, pengguna juga menghasilkan video kreatif berkenaan karya yang menjadi pilihan popular dalam kalangan pembaca. 

BookTok juga berfungsi sebagai sebuah kelab buku yang penuh dengan info tentang buku-buku yang terhangat di pasaran atau karya popular yang telah diadaptasi ke filem di layar perak. BookTok juga telah berjaya melariskan beberapa karya penulis kecil mahupun penulis berpengalaman ke laman sosial untuk dibaca dan dihujah. Antara karya yang mendapat perhatian adalah The Cruel Prince oleh Holly Black, Percy Jackson and The Olympians karya Rick Riordan, Shatter Me karya Taherah Mafi dan sebagainya. Dari senarai buku yang menjadi pilihan popular pembaca tegar, jelas terbukti bahawa BookTok telah membantu penulis-penulis novel melariskan karya mereka walau di era moden di mana lebih ramai orang berpaling kepada video-video pendek berdurasi lima sehingga sepuluh saat, sama ada di aplikasi Tiktok, YouTube, Instagram dan lain-lain. 

Meskipun BookTok banyak membantu banyak pihak, baik dari penulis, pembaca, syarikat penerbitan, namun setiap pekara pasti ada sisi buruknya. Begitu juga BookTok, di mana paparan skrin tidak semestinya indah di alam realiti. 

Ulasan dan pendapat yang dikongsikan oleh pengguna media sosial di BookTok tidak selalunya benar dan boleh dipercayai. Terdapat beberapa kes di mana pembaca melonjakkan populariti karya-karya dari penulis terkenal yang mengandungi isu sensitif atau mempunyai kandungan yang tidak berkualiti. Contohnya, penulis Colleen Hoover dikenali kerana tema bukunya sering menyentuh isu sensitif sehingga beberapa karyanya terpaksa ditarik balik dan tidak layak dijual ke pasaran, terutamanya kepada remaja bawah umur. 

Di samping itu, terdapat sesetengah karya yang diperkenalkan oleh BookTok mengandungi unsur keganasan, kandungan seksual atau eksplisit yang berkemungkinan tidak sesuai dijadikan bahan bacaan untuk sesetengah individu. Contohnya, novel Haunting Adeline karya H.D Carlton meraih populariti kerana genre thriller dan romantik yang digabungkan bersama serta jalan ceritanya yang mampu memberikan unsur debaran yang diinginkan. Meskipun karya ini menjadi antara pilihan popular di BookTok, karya ini turut menerima kritikan disebabkan jalan ceritanya yang mengandungi unsur seksual, keganasan dan seolah menormalisasikan kelakuan stalking yang boleh mengundang bahaya kepada kaum wanita. 

Dari hujahan di atas, BookTok boleh dilihat dari pelbagai sudut pandangan dan berfungsi mengikut kehendak pembaca dan pengguna. Di sudut lain, BookTok boleh dianggap sebagai sebuah trend yang membantu pengguna TikTok mencari hobi baharu mereka dan menjelajah karya-karya dari genre yang tidak pernah dibaca. Namun BookTok bukanlah tempat yang boleh dipercayai untuk mengumpul ilmu pengetahuan atau mempelajari pekara baharu. BookTok hanya diwujudkan untuk mengisi masa lapang para ulat buku yang mahu berkongsi pendapat dan ulasan mengenai buku-buku kegemaran mereka. 


TARIKH: 6/4/2026



Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan