ERTI KEMERDEKAAN

AINA MASTURA MOHAMED SAAID

Malaysia telah menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 pada 31 Ogos 2022 yang lalu. Hari Kemerdekaan dianggap penting dalam kita mengingati jasa dan semangat para pejuang negara. Bukan semudah itu untuk mereka memperjuang kemerdekaan negara daripada pemerintahan kolonial. Maka, setiap tahun kita memberikan penghormatan itu dengan menyambut Hari Kemerdekaan.

Apakah erti kemerdekaan yang sebenar? Selain memperkatakan tentang kebebasan daripada dijajah, apakah lagi makna yang mampu kita peroleh daripada kemerdekaan itu sendiri? Tahun demi tahun, negara berkembang dengan pesat dan banyak perubahan telah berlaku terutama yang mempengaruhi kehidupan seharian kita. Adakah dengan kesenangan dan kebebasan yang ada di negara kita pada ketika ini mampu memperingati generasi baharu tentang erti kemerdekaan?

Generasi baharu kini harus diingatkan bahawa kehidupan yang kita alami ketika ini tidak akan kekal selamanya. Contoh seperti COVID-19 yang menyerang satu dunia sehingga mengakibatkan darurat dan memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi dunia. Malaysia juga tidak terkecuali. Ramai orang yang hilang pekerjaan malah ada yang terpaksa berhenti belajar demi kelangsungan hidup. Melihat kepada situasi ini, generasi baharu haruslah sentiasa berjuang demi kehidupan yang lebih baik dan tidak boleh terlalu bersenang-lenang.

Kita harus mengambil iktibar atas peristiwa yang berlaku semasa pandemik yang berlangsung hampir dua tahun itu. Itu ialah contoh terbaik dalam mengenal erti kebebasan. Bayangkan, hanya dua tahun kita disekat untuk melakukan pelbagai aktiviti dan pekerjaan kita sudah merasa kesukaran dan kesusahan. Cuba kita fikirkan pula bagaimana rakyat yang hidup semasa zaman penjajahan, mereka tidak mempunyai teknologi, malah sumber makanan juga disekat, dan tiada pula hak untuk bebas bersuara seperti yang kita ada ketika ini.

Sebagai intiha, negara kita mungkin tidak dijajah oleh negara lain, namun begitu pelbagai ancaman lain seperti penyakit, ekonomi, teknologi, media sosial dan sebagainya mampu menjajah minda dan pemikiran kita. Oleh itu, usah terleka dengan kemajuan dan gaya hidup mewah yang dipamerkan oleh segelintir orang. Generasi baharu masa kini perlu berasa bersyukur dalam menghargai erti kemerdekaan negara. Selagi kita masih mampu bebas ke mana-mana tanpa perlu dikawal atau diperhatikan, tahulah kita bahawa kita masih beruntung hidup di negara yang bebas penjajah.

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan