HARI BUKU DAN HAK CIPTA SEDUNIA: ILMU YANG DIRAIKAN
HARI BUKU DAN HAK CIPTA SEDUNIA: ILMU YANG DIRAIKAN
Ditulis oleh: Farysha
Setiap tarikh dan sambutan ada maknanya. Buku-buku yang ditulis dari titik peluh penulis juga berhak diraikan. Oleh sebab itu, UNESCO memilih tarikh 23 April setiap tahun sebagai sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia atas tujuan memupuk budaya membaca.
Meskipun hari ini disambut secara meluas di seluruh dunia, Malaysia juga tidak terkecuali dalam menganjurkan aktiviti bagi menyambut hari istimewa ini. Atas anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kempen Jom Baca Selama 10 minit bertujuan untuk mengajak masyarakat menghentikan aktiviti mereka dan membaca selama 10 minit. Kempen ini jelas satu inisiatif yang bagus dalam menggalakkan budaya membaca, tidak mengira lapisan umur kerana pembaca-pembaca boleh merehatkan minda dari melayari skrin telefon dan memupuk semula minat membaca dalam genre yang disukai.
Selain kempen itu, Malaysia sudah menganjurkan beberapa pesta buku setiap tahun bagi mempromosikan karya-karya penulis dan memberi peluang kepada peminat untuk mendapatkan novel-novel penulis kegemaran mereka. Antara pesta buku yang sering dianjurkan ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Kota Baca, KL Reading Festival dan sebagainya. Pesta-pesta buku ini bukan sahaja menjemput penulis-penulis untuk memperkenalkan karya mereka, malah menawarkan harga diskaun kepada peminat tegar mereka dan mengadakan sesi temu ramah.
Seterusnya, tarikh 23 April juga dipilih untuk menekankan isu hak cipta yang masih asing dalam kalangan masyarakat. Hak cipta ialah hak eksklusif pencipta terhadap karya mereka, contohnya buku, muzik, filem dan sebagainya. Tujuan hak cipta diwujudkan ialah untuk melindungi idea kreatif pencipta karya yang berpenat lelah menghasilkan karya demi menghiburkan peminat-peminat industri seni. Seterusnya, hak cipta ini membenarkan pencipta asal karya untuk mengawal pengunaan karya dan mendapat pengiktirafan serta ganjaran dari mana-mana pihak.
Namun, isu hak cipta masih dipandang remeh oleh sesetengah orang sehingga ada yang sanggup melanggar ketetapan hak cipta dari pengkarya asal. Isu yang sering timbul dengan pelanggaran hak cipta ialah membeli atau menjual karya cetak rompak untuk menjana keuntungan pantas, memuat turun fail PDF haram atau berkongsi karya tanpa keizinan. Alhasil dari pelanggaran ini, pihak penerbit dan penulis akan mendapat kerugian dan segala hasil titik peluh mereka dalam menghasilkan sesebuah karya menjadi sia-sia disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab dari sesetengah individu.
Terdapat pelbagai cara untuk memberi sokongan dan menunjukkan penghargaan kepada penulis kegemaran anda. Pembaca-pembaca boleh membeli atau menonton karya cetakan asli dari pihak penulis atau penerbitan daripadanya menggunakan laman web haram untuk membaca. Bahan cetak rompak juga tidak sepatutnya dijual atau didedahkan kepada orang awam untuk menjaga sensitiviti serta usaha keras pihak pengkarya asal.
Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia bukan sahaja hari sambutan untuk semua ulat buku serta pengkarya industri seni, ia juga adalah hari yang penting dalam memupuk budaya baharu serta menggalakkan kesedaran masyarakat tentang hak milik seorang pengkarya. Tanpa hasil tangan seseorang pengkarya, industri seni tidak mampu berkembang maju dan menyumbang bakti kepada negara.
TARIKH: 23/4/2026