HIKMAH UJIAN KEGUGURAN

HIKMAH UJIAN KEGUGURAN

Aina Mastura Mohamed Saaid


Keguguran adalah satu perkara yang sangat menyayat hati dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani oleh seorang wanita yang ingin bergelar ibu. Ada antara mereka ini yang telah bertahun-tahun lamanya mencuba, namun kecewa apabila mengalami keguguran. Penulis sendiri mengenali ramai kenalan yang mempunyai pengalaman keguguran tersendiri, dan setiap seorang daripada mereka menghadapi jenis keguguran yang berbeza.

Tahukah anda, sebenarnya terdapat lima jenis keguguran dan setiap satunya mempunyai risiko dan simptom yang berbeza. Jenis keguguran yang ada ialah:

  1. Ancaman keguguran (Threatened miscarriage) – ibu akan mengalami turun darah dan sakit di bahagian bawah perut.  Pangkal rahim (servik) masih tertutup, dan saiz rahim sama dengan minggu mengandung. Dalam kebanyakan kes, pendarahan akan berhenti sendiri dan kandungan boleh selamat dilahirkan cukup bulan.  Ada juga kes pendarahan menjadi lebih banyak (tumpah darah) dan akhirnya gugur. Majoriti kes tidak berakhir dengan keguguran.
  2. Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage) – keguguran jenis ini berlaku apabila pangkal rahim terbuka mengakibatkan tumpah darah bertambah banyak dan sakit perut bertambah kuat.
  3. Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage) – keguguran jenis ini pula bermakna kandungan telah gugur keluar tetap masih ada yang tertinggal dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh mengakibatkan tumpah darah yang banyak. Doktor perlu melakukan prosedur untuk keluarkan atau bersihkan saki-baki yang mungkin tertinggal untuk mengelak daripada jangkitan atau komplikasi lain berlaku.
  4. Keguguran lengkap (complete miscarriage) – keguguran lengkap ini bermaksud kandungan telah keluar sepenuhnya. Keguguran berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang tanpa rawatan. Semasa pemeriksaan dilakukan (oleh doktor), pintu pangkal rahim sudah tertutup dan simptom-simptom mengandung sudah hilang.  Imbasan ultrabunyi pula akan menunjukkan rahim tiada kesan janin yang masih tertinggal. 
  5. Keguguran septik (septic miscarriage) – ibu yang keguguran dijangkiti kuman yang menjangkiti rahim. Simptom termasuk demam panas, menggigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendiran dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning).
  6. Keguguran terlepas (missed miscarriage) - pengguguran yang terlepas iaitu ibu tidak menyedari kandungan atau janin sudah meninggal. Selepas pemeriksaan dibuat, tiada denyutan jantung. Ibu tidak mengalami apa-apa simptom dan tiada pendarahan, tidak mengalami sakit perut dan hanya simptom mengandung seperti loya.

Pada mulanya, kesan emosi keguguran boleh memudaratkan ibu yang mengalaminya. Walaupun setiap orang akan memproses pengalaman keguguran secara berbeza, pelbagai kesan emosi juga boleh dialami, termasuklah:

  1. Mengalami kesedihan yang begitu perit.
  2. Perasaan putus asa 
  3. Meratap kehilangan yang hebat (lebih-lebih lagi bagi kaum wanita yang mencuba terlalu lama)
  4. Menyalahkan diri sendiri sebagai punca keguguran.
  5. Marah, sama ada kepada orang sekeliling atau diri sendiri.
  6. Berasa cemburu terhadap orang lain yang tidak gugur
  7. Merasa diri terlalu sunyi.

  Keguguran juga dianggap boleh membahayakan kesihatan dan kadangkala mengancam nyawa wanita. Oleh sebab itu, penjagaan rapi atau berpantang haruslah dilakukan sebaik sahaja seorang wanita itu mengalami keguguran. Jika mengikut nasihat orang-orang tua, tempoh berpantang lebih kurang sama dengan tempoh pantang bersalin iaitu 44 hari. 

     Namun begitu, pada zaman sekarang, dengan adanya ubat dan rawatan yang baik, maka wanita tidak perlulah berpantang selama itu. Ketika ini pakar perubatan menyarankan wanita yang mengalami keguguran untuk menjaga kesihatan dan berehat secukupnya, fizikal dan emosi, selama dua minggu. 

       Dalam tempoh berpantang, amat penting untuk wanita menjaga pemakanan agar emosi dan tenaga mereka kembali pulih dengan baik. Kendatipun begitu, pakar perubatan juga menggalakkan agar wanita yang ingin mencuba untuk hamil, menjaga pemakanan mereka sebelum hamil lagi agar kesihatan mereka terjamin. Kebersihan juga berkait rapat dengan kesihatan emosi dan fizikal. Pastikan diri anda sentiasa menjaga kebersihan agar terhindar daripada jangkitan kuman dan virus. 

          Rehat yang secukupnya! Itulah yang paling penting selain menjaga kesihatan dan kebersihan. Tanpa rehat yang cukup, pastinya anda akan mudah berasa tertekan. Tanpa rehat yang cukup juga, boleh mengakibatkan demam, sakit, atau pendarahan yang lebih teruk. Pastikan anda tidak melakukan kerja berat atau membuat aktiviti yang menggunakan tenaga terlalu banyak.

           Sesungguhnya, keguguran ini satu ujian dan nikmat bahawa segala-galanya milik Allah dan hanya kepada Dia tempat bergantung harapan. Semoga jiwa bakal ibu yang telah mengalami kehilangan dan mencuba untuk hamil terus kuat dan tabah. Usah berhenti berdoa. 

           Juga buat keluarga terdekat, berikan sokongan anda kepada ibu yang mengalami kehilangan agar mereka tidak terus dibelenggu kesedihan lalu menyebabkan kemurungan. Bantu mereka untuk kuat semangat dan kembali sihat. 

SHE mengajak anda yang membaca artikel ini untuk menyertai projek penerbitan berkaitan kehilangan. Maklumat lanjut pada poster yang dipaparkan. 

Untuk mendaftar, klik di sini

https://syahidahassanenterprise.com/collections/projek-penerbitan-buku/products/projek-buku-coretan-hikmah-sebuah-kehilangan


Sumber rujukan:

http://www.myhealth.gov.my/keguguran-

https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/amp/WM/2020/12/648778/gaya-hidup-penyebab-epl

https://www.google.com/amp/s/www.astroawani.com/berita-hiburan/siti-nurhaliza-redha-kandungan-keguguran-anggap-ujian-dekatkan-diri-dengan-allah-83081%3famp=1




Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan