KELEBIHAN PENERBITAN BUKU MELALUI DANABUKU


Oleh: Aina Mastura Mohamed Saaid & Nurul Syahida Hassan

Peningkatan penerbitan buku secara swaterbit semakin meluas di negara kita. Rata-rata penulis terutama penulis baharu mengambil jalan menerbitkan sendiri buku mereka untuk mengelak urusan yang lebih rumit jika melalui penerbit. Namun, soal kewangan adakala menjadi kekangan buat para penulis yang mengimpikan buku mereka berada di pasaran. Kekangan inilah yang mewujudkan DanaBuku. Apa itu DanaBuku?

DanaBuku merupakan pelantar crowdfunding (pendanaan awam) Islamik bertujuan merealisasikan manuskrip penulis dalam bentuk karya yang bercetak. Pelantar ini menghubungkan para penyumbang yang budiman dan penulis yang berbakat dalam usaha menghargai idea dan memelihara ilmu dalam kalangan masyarakat. DanaBuku dibangunkan setelah projek penyelidikan FundMyBook berjaya mencapai sasaran. Penyelidik dengan usaha sama para alumni FundMyBook meneruskan konsep sebegini dengan membangunkan pelantar DanaBuku. Pelantar ini dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh Kelab Komuniti Pencinta Buku Terengganu.

Penulis merupakan salah seorang yang menggunakan pelantar DanaBuku dalam merealisasikan impian untuk menerbitkan novel fantasi pertamanya iaitu Pusaka Terakhir. Dengan bantuan dan panduan daripada Dr Shahrul Ifwat (pengasas DanaBuku) dan Puan Nurul Syahida Hassan (pengasas SHE), penulis berjaya mendapatkan dana yang diperlukan menggunakan konsep crowdfunding.

Apakah itu crowdfunding? Ada yang menyebut sebagai pendanaan awam, pendanaan khalayak, dan pendanaan orang ramai. Pendanaan ini adalah satu cara untuk mendapatkan dana untuk modal daripada sekumpulan besar individu. Jika dikaitkan dengan penerbitan buku, maka modal yang diperlukan merangkumi kos penerbitan seperti percetakan, penyuntingan, bacaan pruf, reka letak, reka kulit muka dan sebagainya. Seperti pelantar pendanaan awam yang lain, DanaBuku juga memberikan kita menetapkan jangka masa yang sesuai untuk berkempen dan mendapatkan dana yang diperlukan.

Kempen pendanaan awam ini juga meminimumkan risiko untuk anda mengalami kerugian daripada sudut kewangan. Apabila anda merancang dengan teliti setiap jumlah kos penerbitan yang diperlukan, maka melalui dana yang diterima anda tidak perlu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak. Semasa penulis melakukan kempen pendanaan, penulis menawarkan sebuah buku percuma berserta dengan cenderahati seperti penanda buku dan key chain characters. Ganjaran seperti ini juga salah satu teknik menarik perhatian orang ramai untuk memberikan dana kepada anda.

Penulis secara peribadi berpendapat bahawa, pelantar DanaBuku bukan sahaja memberi peluang untuk penulis mendapatkan modal dalam menerbitkan buku, tetapi dalam pada masa yang sama penulis dapat melakukan pemasaran dan promosi berkenaan buku yang bakal diterbitkan. Apabila penulis memaparkan iklan mengenai dana yang diperlukan, dalam pada masa yang sama, ramai orang berminat untuk mendapatkan buku tersebut. Secara tidak langsung, buku penulis menerima pendedahan yang baik. Melalui kaedah ini juga, penulis dapat mengesan golongan yang berminat dengan genre buku yang bakal diterbitkan ketika itu.

Maklumat lanjut mengenai DanaBuku: https://danabuku.com/

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan