RAYA SEDERHANA, POKET SELAMAT
RAYA SEDERHANA, POKET SELAMAT
Ditulis oleh: Farysha

Berjimat cermat atau bermewah-mewahan?
Aidilfitri menjelang, begitu juga dengan dilema setiap keluarga.
Bagi sesetengah keluarga, perayaan Aidilfitri perlu disambut dengan meriah dan gemilang dengan pakaian raya serba baharu, makanan mewah dan kuih raya yang ditempah khas. Namun begitu, dengan keadaan ekonomi sekarang yang dilanda inflasi, ramai rakyat lebih memilih untuk menyambut perayaan dengan berjimat cermat.
Aidilfitri sepatutnya disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan setelah hampir sebulan menahan diri dari hawa nafsu dan perbuatan yang boleh mendatangkan murka Allah SWT. Namun bermewah-mewahan tanpa mengira pembaziran yang bakal berlaku akan membuatkan semua amalan ketika Ramadan menjadi sia-sia. Makna sambutan hari raya juga akan perlahan-lahan menghilang kerana keinginan seseorang untuk menunjuk-nunjuk dan lebih fokus kepada material yang boleh meraih pujian.
Setiap tahun Aidilfitri pasti akan disambut dengan membeli pakaian baharu, perhiasan rumah yang lebih gah atau menghidangkan jamuan-jamuan mewah kepada tetamu saat rumah terbuka. Namun tanpa disedari, tabiat ini perlahan mewujudkan sebuah standard yang “wajib” dicapai pada Hari Raya, iaitu semua persiapan dan kelengkapan perlulah serba baharu dan mahal. Untuk mencapai piawaian yang ditetapkan secara tidak langsung ini, ramai keluarga mula rasa tertekan dan rendah hati apabila mereka tidak mampu menampung kos untuk persiapan Raya baharu dan membandingkan kehidupan mereka ke orang lain di media sosial. Jalan terbaik untuk mengelakkan rasa tekanan, barang-barangan Raya pada tahun sebelumnya lebih elok digunakan jika ia masih dalam keadaan baik dan sempurna.
Dari sisi agama pula, Islam lebih menekan konsep kesederhanaan (wasatiyyah) supaya kita dapat menyambut perayaan dengan ketenangan dan keseimbangan. Larangan membazir dan berlebih-lebihan juga sudah ditekankan beberapa kali kerana ia menyerupai perlakuan syaitan yang menggoda ke arah kejahatan. Untuk menggelakkan masalah boros sebegini di Aidilfitri, lebih elok jika pekara-pekara utama didahulukan dari kehendak seperti barang dapur, tabung kecemasan, simpanan dan sebagainya.
Meskipun sifat bersederhana dianggap tidak gah atau membosankan, kebaikannya lebih banyak dari keburukannya. Berjimat cermat dapat mengurangkan rasa tekanan dari perlu berbelanja demi meniru gaya hidup orang lain di atas talian serta aliran kewangan dalam sesebuah keluarga dapat diuruskan dengan lebih baik tanpa membeli perhiasan atau barang-barang yang kurang penting. Menyambut Hari Raya tanpa bermewah-mewahan juga memberi peluang kepada keluarga untuk saling bermaafan atau mencipta kenangan indah yang lebih bernilai daripada wang. Hubungan silaturahim keluarga juga dapat dieratkan apabila tidak banyak tekanan perlu dilakukan semata-mata untuk menunjuk lagak kepada tetamu atau saudara-mara.
Ramadan tiba membawa keberkahan dan mengajar erti kesyukuran, Aidilfitri datang mengganti membawa makna kemenangan dan ketenangan. Hidup bersederhana tidak pernah merugikan, namun hidup yang berpaksikan pujian atau keagungan orang luar pasti akan memakan diri suatu hari nanti.
TARIKH: 15/4/2026