
Dua dekad yang berlalu mengubah banyak perkara dalam kehidupan manusia. Pelbagai peristiwa, insiden, perang, tragedi, juga teknologi, produk dan penemuan baru membawa kita dalam dimensi yang berbeda.
Kerana itu, tahun 1998 yang mengubah landskap politik negara, seakan satu deja vu apabila tahun 2018, 20 tahun kemudian, pemain politikus yang berseteru dahulu kini bersepakat untuk kembali berkuasa.
Melihat ke belakang, terowong masa dengan segala rakaman memori dan sejarah tidak mungkin terpadam. Hakikatnya, tiada yang kekal dan perubahan itu adalah kehidupan yang terus menjadikan kita sepatutnya lebih matang.
Pengalaman berdemonstrasi, dikejar FRU dan bangkit dari lena sebagai rakyat yang lebih ambil tahu dengan politik negara adalah sesuatu yang tidak ternilai. Benar atau salah, kita sama mengukir sejarah negara di bawah demokrasi.